Saturday, February 20, 2010

Mee Udang

1 bungkus Mee kuning
1 ekor tulang rangka ayam
1 sengkuang kecil (buang kulit)
2 genggam bawang merah (untuk buat bawang goreng)
1 cawan minyak untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa
2 kg udang sederhana besar
1 genggam udang kering (ditumbuk halus)
Satu kelopak atau 15 ulas bawang putih
5 sudu makan cili kering yang dikisar
2 cm belacan
2 atau 3 keping sotong kering (size kecil)
1 atau 2 ekor ketam (jika suka)

Bahan hiasan :
3 biji telur rebus dihiris
1 ikat kangkung dicelur
Taugeh dicelur
Bawang goreng
Udang
Fishball
Fishcake

Cara:

Rebus tulang rangka ayam, fishball, fishcake, sengkuang, sotong kering dan ketam (jika ada) dengan lebih kurang 2 liter air dalam periuk sup. Didihkan. Bila fishball dan fishcake sudah masak, keluarkan dari sup dan hiriskan untuk digunakan sebagai hiasan mee nanti.

Panaskan setengah cawan minyak. Tumiskan hirisan bawang merah untuk dibuat bawang goreng. Ketepikan bawang goreng untuk hiasan. Baki minyak bawang ini digunakan untuk menumis Sambal Pes Udang.

Untuk buat Sambal Pes Mee Udang:

Blend halus satu kelopak (15 biji) bawang putih. Tumis dalam baki minyak bawang goreng tadi dan kacau selalu hingga air bawang hampir kering. Masukkan udang kering yang telah ditumbuk halus. Goreng seketika. Masukkan cili boh yang telah dikisar dengan belacan. Masak hingga terbit minyak dan pes jadi kering berminyak. Akhir sekali baru masukkan 1 sudu gula.

Simpan pes cili yang telah masak bersama sedikit minyaknya dalam mangkuk untuk hidangan nanti. Baki minyak pes cili yang selebihnya dalam kuali dituangkan ke dalam periuk sup yang mengandungi air rebusan ayam tadi. Kuali bekas gorengan sambal ini jangan di basuh dulu.

Kupas kulit udang. Kulit dan kepala udang diketepikan untuk langkah seterusnya nanti. Gorengkan isi udang dalam kuali bekas gorengan Sambal Pes tadi hingga udang masak dan kemerahan. Angkat udang dari kuali, toskan air lebihan gorengan udang ke dalam periuk sup yang mengandungi air rebusan ayam. Udang ini untuk hiasan.

Cincang 6-7 ulas bawang putih. Panaskan 2 sudu minyak dan goreng bawang putih cincang ini hingga harum dan sedikit kekuningan. Masukkan kulit dan kepala udang. Goreng hingga semua kulit udang bertukar ke warna kemerahan. Masukkan air separas kulit udang ini dan biar mendidih seketika.

Kisarkan kasar (1-2 saat) kulit dan kepala udang dengan airnya. Tapis air kisaran udang ke dalam periuk sup ayam. Masukkan gula dan sedikit garam. Biar mendidih. Rasa kuahnya jangan terlalu masin kerana Pes Udang yang akan digunakan nanti sudah ada udang kering.

Celur kangkung. Celur taugeh. Rebus telur. Celur Mee.

Nota: Mee boleh disediakan dua cara: Celur atau di goreng.
Panaskan kuali, letakkan 2-3 sudu minyak dan tumis 1-2 ulas bawang putih yang dicincang dan goreng mee yang telah di bilas air. Goreng sebentar dan masukkan 5-6 sudu air panas. Balik-balikkan mee hingga mee masak. Dengan cara menggoreng, mee cantik dan tidak ‘kembang’, berbanding mee yang di celur.

Cara hidangan:
Masukkan Mee yang telah dicelur ke dalam mangkuk. Letakkan kangkung, taugeh, hirisan telur, isi udang, hirisan fishball dan fishcake serta bawang goreng. Sendukkan kuah udang dan hidangkan mee bersama Pes Sambal Udang.

“Selamat makan”

No comments:

Post a Comment